Saturday 9 May 2015

Circus game!

Berikut adalah artikel bagi minggu ketiga kami di akhbar Kosmo!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Saban tahun kita disogokkan dengan penganjuran pertunjukan ‘sarkas’ anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang sedikit sebanyak mengganggu jadual perjalanan liga domestik di Malaysia.

Tatkala semua pasukan bersaing untuk menduduki tangga teratas liga, FAM dengan senang hati mengubah jadual-jadual liga domestik semata-mata untuk memenuhi tuntutan permintaan terhadap perlawanan ‘sarkas’ ini.

Segar dalam ingatan penulis ketika pasukan Malaysia bermain di kejohanan Piala Asia 2007 yang pada ketika itu dianjurkan secara bersama oleh Thailand, Malaysia, Vietnam dan Indonesia, pihak FAM begitu sibuk dengan promosi perlawanan ‘sarkas’ menentang Manchester United sehingga menyebabkan campur tangan daripada pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akhirnya menyebabkan perlawanan tersebut di batalkan.  

"Kami berasa amat kecewa dan terkilan sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti seperti lawatan kelab Manchester United dianjurkan sepanjang berlangsungnya Piala Asia 2007 yang mana ianya sedikit sebanyak akan menenggelamkan kemeriahan kejohanan Piala Asia itu sendiri,” Ujar penolong Setiausaha Agung AFC, Clare Kenny pada 2007.

Sekali lagi pada 2013 ketika perlawanan ‘sarkas’ di antara Malaysia XI dan Barcelona, pemain bintang mereka Lionel Messi dibayar hanya untuk duduk di bangku simpanan sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Betapa terhinanya dan malunya kita apabila Lionel Messi dikatakan menolak untuk bermain di Shah Alam dengan alasan keadaan padang yang kurang rata dan dikatakan tidak selamat.sedangkan lokasi perlawanan sudah di ubah daripada Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Shah Alam yang mana kualiti padangnya seharusnya adalah lebih baik.

Tetapi sedarkah kita bahawa sebenarnya Barcelona dikatakan telah menerima bayaran sebanyak €3 juta daripada perlawanan tersebut walaupun Lionel Messi tidak beraksi di atas padang dan hanya duduk di kerusi empuk bangku simpanan sahaja.

Rupa-rupanya kontrak perlawanan tersebut menyatakan bahawa Barcelona perlu membawa Messi tetapi tidak dinyatakan bahawa beliau perlu beraksi di dalam perlawanan tersebut.

Nampaknya pihak FAM masih lagi tidak serik untuk membawa masuk pasukan luar dan mereka juga dikatakan ingin menjadikan perlawanan ini sebagai perlawanan persediaan ke kelayakan Piala Dunia FIFA.

Adakah dengan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab ini dapat meningkatkan mutu permainan pemain-pemain negara? Hanya mereka yang terlibat secara langsung mampu menjawabnya.

Maka amat wajar sekiranya JDT tidak mahu melepaskan pemainnya untuk aksi ini kerana ironinya perlawanan ini bukanlah perlawanan bertaraf antarabangsa yang di iktiraf oleh FIFA.

Seharusnya FAM merancang lebih banyak perlawanan persahabatan kelas A yang diiktiraf FIFA dengan pasukan kebangsaan negara lain dan bukannya dengan pasukan bertaraf kelab. Tidak salah untuk mana-mana kelab datang ke negara kita dan mengadakan perlawanan persahabatan tetapi haruslah dengan lawan yang setaraf iaitu pasukan kelab menentang pasukan kelab.

Umum mengetahui bahawa pasukan JDT kini dalam perancangan akhir untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Bundesliga, Borussia Dortmund pada pertengahan tahun ini. Aktiviti seperti ini yang seharusnya berlaku dalam senario bolasepak negara di mana pasukan kelab bertemu pasukan kelab dan bukannya pasukan kelab bertemu Malaysia XI yang pada dasarnya adalah skuad utama negara.

Adakah setelah tewas 0-6 kepada Oman, FAM tidak akan lagi mengadakan perlawanan persahabatan kelas A kecuali perlawanan-perlawanan ‘wajib’ seperti kelayakan Piala Dunia, Sukan SEA dan Piala AFF kerana bimbang FAM akan sekali lagi menjadi mangsa kritikan hebat oleh ramai peminat dan pemerhati bolasepak tanahair sekiranya tewas? Mungkin ini jalan selamat yang dipilih oleh FAM dengan mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab dan pada masa yang sama stadium pastinya akan penuh dengan ramai “peminat”.

JDT akan meneruskan aksi seterusnya di peringkat asia dengan perlawanan menentang pasukan East Bengal di Stadium Salt Lake, Kolkata pada hari Selasa, 28 April 2015. JDT yang kini menghuni tangga teratas kumpulan F dengan 9 mata hanya memerlukan 1 mata sahaja lagi untuk layak secara automatik ke pusingan seterusnya.

Jika ada rezeki, menanti JDT di pusingan kedua adalah pasukan daripada kumpulan H iaitu samada Persib Bandung, Ayeyawady United, New Radiant atau Lao Toyota FC. Khidmat Luciano Figueroa pastinya ditagih lagi oleh Bojan Hodak untuk merobek gawang gol East Bengal sekaligus mempertahankan rekod cemerlang JDT di kejohanan peringkat Asia.

Selamat berjuang buat semua pemain yang akan beraksi di Kolkata nanti. InsyaAllah, kami Boys of Straits akan berada di sana untuk sama-sama berjuang bersama anda. Buat semua penyokong yang akan turut sama terbang ke Kolkata semoga anda semua selamat pergi dan pulang nanti.

“Ayuh Johor! Ayuh Johor! Luaskan kuasamu Johor. Kami ada, kami ada, setia bersamamu Johor.”

Kita semua adalah Boys of Straits. Luaskan kuasamu Johor!





10 comments: