Sunday 17 July 2016

Patriotik?

Hampir 1 minggu berlalu tetapi media masih lagi memainkan peranan mereka dalam menghangatkan suasana dalam isu mengenai persaraan empat pemain bola sepak Negara daripada skuad kebangsaan. Saban hari ada sahaja temuramah yang di buat oleh pihak media dan pelbagai reaksi yang di berikan samada menyokong, menentang mahupun memerli keputusan persaraan tersebut.

Keempat-empat mereka pastinya punya sebab yang tersendiri mengapa mereka mengambil keputusan bersara daripada skuad kebangsaan dan tidak perlu untuk kita mempersoalkan semangat patriotisme mereka. Siapa kita untuk mempersoalkan semangat patriotisme mereka? Adakah kita sudah cukup patriotik terhadap negara? Jawapan ada pada diri anda sendiri.

Mana pihak media tatkala Persatuan bolasepak Malaysia bermati-matian mempertahankan kesilapan mereka dalam penganjuran perlawanan persahabatan menentang pasukan New Caledonia tempoh hari? Mengapa tidak di hentam badan induk tersebut tatkalan kesilapan mudah itu berlaku hasil kecuaian pihak mereka sendiri? Mana Khalid Ali, mana Jamal Nasir ketika itu? Sedang sibuk mengacau dodol dan mengayam ketupat mungkin. Sekali lalu dengan melihat gambar kita sudah tahu seperti ada yang tidak kena dengan barisan pengadil yang mengadili perlawanan tersebut. Adakah Setiausaha Agung FAM yang kebetulan menghadiri perlawanan tersebut tidak mempersoalkan perkara tersebut sewaktu perlawanan tersebut berlangsung? Hanya mereka yang punya jawapan.

Tanggal 8 September 2015, protes penyokong terhadap FAM di lakukan dalam perlawanan menentang Arab Saudi. Pelbagai reaksi yang di terima daripada pelbagai pihak. Tetapi apa yang kita lihat, FAM masih lagi kekal statik dalam pelbagai aspek. Jika ada perubahan pun, ianya adalah sangat minimum. Jadi, persaraan empat pemain ini jelas memberikan tamparan hebat kepada FAM dari pelbagai aspek tatkala dalam persiapan menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia dan Piala AFF Suzuki 2016 agar mereka membuat perubahan yang lebih drastik dalam meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan dan mutu bolasepak negara. Adakah kita hanya mahu menjadi jaguh rantau Asia Tenggara sahaja? Mana ‘roadmap’ dan pelan jangka masa panjang FAM dalam meningkatkan mutu bolasepak negara, melayakkan diri secara merit ke saingan Piala Asia dan seterusnya Piala Dunia? Oh lupa, ianya eksklusif untuk mereka yang berada di badan induk itu sahaja.

“Sebenarnya cinta saya terhadap bolasepak amat mendalam sekali. Saya ingin melihat kemajuan sukan bolasepak di Malaysia setanding dengan negara-negara maju. Kalau boleh dalam masa beberapa tahun lagi, biarlah bolasepak kita mencapai ke taraf dunia,” Timbalan Presiden FAM, 30 Julai 1992, (Buku Bolasepak Malaysia, cabaran dan masa depan). Kini sudah 24 tahun berlalu tetapi adakah bolasepak negara sudah mencapai ke tahap yang di kehendaki? Anda sendiri mampu menilainya.

P/S: Bayar hutang dahulu sebelum anda mempersoalkan semangat patriotisme mereka.


#MR, 17 Julai 2016. 

Wednesday 13 May 2015

Artikel Kosmo: Penswastaan Liga? & Pertukaran jurulatih.

Berikut adalah artikel minggu keempat bagi ruangan Bicara Boys of Straits. Artikel di bawah adalah merupakan artikel asal tanpa sebarang editing dari pihak penerbit.


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih kami ucapkan buat Kosmo kerana sekali lagi memberikan kami ruang untuk berbicara lagi pada minggu ini.

Umum sudah mengetahui bahawa pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat pemegang hak media antarabangsa terkemuka, Media Partners & Silva (MP & Silva) menjelang penswastaan Liga Malaysia (Liga M) pada 2016.

Berdasarkan jumlah yang dijanjikan oleh MP & Silva dari 2016 ke 2021, FAM akan dijanjikan pulangan sebanyak RM70 juta setahun manakala RM85 juta bagi tempoh tiga tahun berikutnya (2022-2024), RM92 juta (2025-2027) dan RM103 juta bagi tempoh tiga tahun terakhir.

Menerusi perjanjian ini juga mereka menubuhkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dimana Kevin Ramalingam telah di lantik selaku CEO yang mana ia berkuatkuasa sejak 17 April 2015.

Di mata FAM ianya kelihatan seperti semuanya berjalan dengan begitu lancar dan begitu teratur, tetapi adakah semua pemegang taruh iaitu FA negeri dan kelab sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi era penswastaan FAM? Sedangkan ketika ini kita di era ‘profesional’, masih terdapat lagi pasukan yang terkial-kial untuk membayar gaji pemain.

Kini sudah memasuki bulan Mei 2015 dan masih ada 8 bulan sahaja lagi sebelum era penswastaan liga akan berlaku tetapi sehingga kini kita masih belum mendengar sebarang bentuk pengumuman mengenai  perubahan terhadap struktur liga kita.

Adakah akan terdapat penambahan atau pengurangan pasukan di liga domestik kita? Adakah hanya pasukan berstatus kelab yang mempunyai lesen FAM sahaja yang akan di benarkan bertanding? Atau adakah pasukan bertaraf FA masih di kekalkan dan akan terus beraksi dalam saingan liga? Atau tumpuan FAM kini lebih terarah kepada perlawanan Malaysia XI menentang Totenham dan Liverpool dan segala perancangan penswastaan di tangguhkan buat sementara waktu sehingga perlawanan tersebut selesai?

Terlalu banyak persoalan yang perlu dijawab oleh pihak FAM menjelang era penswastaan bola sepak negara 2016. Moga penswastaan liga akan berjalan lancar dan tidak di tangguhkan ke tahun 2017 pula.  

Kejayaan pasukan JDT menundukkan East Bengal 1-0 dalam saingan Piala AFC yang berlangsung di Stadium Salt Lake City Kolkata baru-baru ini menjadikan JDT kini layak ke pusingan kedua dan menanti JDT di saingan pusingan kedua yang dijadualkan akan berlangsung pada 27 Mei 2015 nanti adalah antara pasukan Persib Bandung atau Ayeyawady United.

Walau bagaimanapun, setiap pemain harus meningkatkan kualiti persembahan di atas padang kerana menanti mereka di pusingan berikutnya pastinya pasukan yang lebih baik kualitinya berbanding lawan di dalam kumpulan F saingan Piala AFC.

Agak sukar untuk menewaskan lawan yang lebih baik sekiranya JDT kekal dengan prestasi ketika menentang East Bengal di Kolkata. Permainan tempoh hari begitu jelas dikuasai oleh pasukan East Bengal terutama sekali selepas permainan dihentikan akibat keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Dan ianya mungkin menjadi punca mengapa momentum pasukan kelihatan agak sedikit longgar selepas itu.

Kolkata juga meninggalkan seribu satu kenangan buat rakan-rakan kami yang bertandang ke sana kerana setiap “awaydays” ada kisahnya yang tersendiri. Terima kasih dan jumpa lagi Kolkata!

Minggu lalu kita juga dikejutkan dengan perkhabaran mengenai status jurulatih Bojan Hodak yang direhatkan oleh pihak PBNJ. Terdapat pelbagai respon yang di terima dari pelbagai pihak samada respon positif mahupun negatif. Walau bagaimanapun kita harus sentiasa ingat bahawa “pemain sentiasa datang dan pergi, jurulatih datang silih berganti tetapi apa yang lebih penting adalah penyokong dan kelab akan terus kekal di sini”.

Moga dengan kehadiran jurulatih baru akan menjadikan JDT lebih maju di masa hadapan. Buat para pemain, berusahalah sehabis baik untuk mencapai kejayaan, kami Boys of Straits akan tetap berdiri teguh di belakang anda dan ingatlah walau dari mana anda datang, apabila beraksi di atas padang dan menyarung jersi JDT, maka kami mahu anda beraksi dengan semangat yang jitu kerana anda semua membawa nama bangsa Johor.

Kita semua adalah Boys of Straits. Luaskan kuasamu Johor!




Saturday 9 May 2015

Circus game!

Berikut adalah artikel bagi minggu ketiga kami di akhbar Kosmo!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Saban tahun kita disogokkan dengan penganjuran pertunjukan ‘sarkas’ anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang sedikit sebanyak mengganggu jadual perjalanan liga domestik di Malaysia.

Tatkala semua pasukan bersaing untuk menduduki tangga teratas liga, FAM dengan senang hati mengubah jadual-jadual liga domestik semata-mata untuk memenuhi tuntutan permintaan terhadap perlawanan ‘sarkas’ ini.

Segar dalam ingatan penulis ketika pasukan Malaysia bermain di kejohanan Piala Asia 2007 yang pada ketika itu dianjurkan secara bersama oleh Thailand, Malaysia, Vietnam dan Indonesia, pihak FAM begitu sibuk dengan promosi perlawanan ‘sarkas’ menentang Manchester United sehingga menyebabkan campur tangan daripada pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akhirnya menyebabkan perlawanan tersebut di batalkan.  

"Kami berasa amat kecewa dan terkilan sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti seperti lawatan kelab Manchester United dianjurkan sepanjang berlangsungnya Piala Asia 2007 yang mana ianya sedikit sebanyak akan menenggelamkan kemeriahan kejohanan Piala Asia itu sendiri,” Ujar penolong Setiausaha Agung AFC, Clare Kenny pada 2007.

Sekali lagi pada 2013 ketika perlawanan ‘sarkas’ di antara Malaysia XI dan Barcelona, pemain bintang mereka Lionel Messi dibayar hanya untuk duduk di bangku simpanan sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Betapa terhinanya dan malunya kita apabila Lionel Messi dikatakan menolak untuk bermain di Shah Alam dengan alasan keadaan padang yang kurang rata dan dikatakan tidak selamat.sedangkan lokasi perlawanan sudah di ubah daripada Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Shah Alam yang mana kualiti padangnya seharusnya adalah lebih baik.

Tetapi sedarkah kita bahawa sebenarnya Barcelona dikatakan telah menerima bayaran sebanyak €3 juta daripada perlawanan tersebut walaupun Lionel Messi tidak beraksi di atas padang dan hanya duduk di kerusi empuk bangku simpanan sahaja.

Rupa-rupanya kontrak perlawanan tersebut menyatakan bahawa Barcelona perlu membawa Messi tetapi tidak dinyatakan bahawa beliau perlu beraksi di dalam perlawanan tersebut.

Nampaknya pihak FAM masih lagi tidak serik untuk membawa masuk pasukan luar dan mereka juga dikatakan ingin menjadikan perlawanan ini sebagai perlawanan persediaan ke kelayakan Piala Dunia FIFA.

Adakah dengan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab ini dapat meningkatkan mutu permainan pemain-pemain negara? Hanya mereka yang terlibat secara langsung mampu menjawabnya.

Maka amat wajar sekiranya JDT tidak mahu melepaskan pemainnya untuk aksi ini kerana ironinya perlawanan ini bukanlah perlawanan bertaraf antarabangsa yang di iktiraf oleh FIFA.

Seharusnya FAM merancang lebih banyak perlawanan persahabatan kelas A yang diiktiraf FIFA dengan pasukan kebangsaan negara lain dan bukannya dengan pasukan bertaraf kelab. Tidak salah untuk mana-mana kelab datang ke negara kita dan mengadakan perlawanan persahabatan tetapi haruslah dengan lawan yang setaraf iaitu pasukan kelab menentang pasukan kelab.

Umum mengetahui bahawa pasukan JDT kini dalam perancangan akhir untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Bundesliga, Borussia Dortmund pada pertengahan tahun ini. Aktiviti seperti ini yang seharusnya berlaku dalam senario bolasepak negara di mana pasukan kelab bertemu pasukan kelab dan bukannya pasukan kelab bertemu Malaysia XI yang pada dasarnya adalah skuad utama negara.

Adakah setelah tewas 0-6 kepada Oman, FAM tidak akan lagi mengadakan perlawanan persahabatan kelas A kecuali perlawanan-perlawanan ‘wajib’ seperti kelayakan Piala Dunia, Sukan SEA dan Piala AFF kerana bimbang FAM akan sekali lagi menjadi mangsa kritikan hebat oleh ramai peminat dan pemerhati bolasepak tanahair sekiranya tewas? Mungkin ini jalan selamat yang dipilih oleh FAM dengan mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab dan pada masa yang sama stadium pastinya akan penuh dengan ramai “peminat”.

JDT akan meneruskan aksi seterusnya di peringkat asia dengan perlawanan menentang pasukan East Bengal di Stadium Salt Lake, Kolkata pada hari Selasa, 28 April 2015. JDT yang kini menghuni tangga teratas kumpulan F dengan 9 mata hanya memerlukan 1 mata sahaja lagi untuk layak secara automatik ke pusingan seterusnya.

Jika ada rezeki, menanti JDT di pusingan kedua adalah pasukan daripada kumpulan H iaitu samada Persib Bandung, Ayeyawady United, New Radiant atau Lao Toyota FC. Khidmat Luciano Figueroa pastinya ditagih lagi oleh Bojan Hodak untuk merobek gawang gol East Bengal sekaligus mempertahankan rekod cemerlang JDT di kejohanan peringkat Asia.

Selamat berjuang buat semua pemain yang akan beraksi di Kolkata nanti. InsyaAllah, kami Boys of Straits akan berada di sana untuk sama-sama berjuang bersama anda. Buat semua penyokong yang akan turut sama terbang ke Kolkata semoga anda semua selamat pergi dan pulang nanti.

“Ayuh Johor! Ayuh Johor! Luaskan kuasamu Johor. Kami ada, kami ada, setia bersamamu Johor.”

Kita semua adalah Boys of Straits. Luaskan kuasamu Johor!