Wednesday, 13 May 2015

Artikel Kosmo: Penswastaan Liga? & Pertukaran jurulatih.

Berikut adalah artikel minggu keempat bagi ruangan Bicara Boys of Straits. Artikel di bawah adalah merupakan artikel asal tanpa sebarang editing dari pihak penerbit.


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terima kasih kami ucapkan buat Kosmo kerana sekali lagi memberikan kami ruang untuk berbicara lagi pada minggu ini.

Umum sudah mengetahui bahawa pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat pemegang hak media antarabangsa terkemuka, Media Partners & Silva (MP & Silva) menjelang penswastaan Liga Malaysia (Liga M) pada 2016.

Berdasarkan jumlah yang dijanjikan oleh MP & Silva dari 2016 ke 2021, FAM akan dijanjikan pulangan sebanyak RM70 juta setahun manakala RM85 juta bagi tempoh tiga tahun berikutnya (2022-2024), RM92 juta (2025-2027) dan RM103 juta bagi tempoh tiga tahun terakhir.

Menerusi perjanjian ini juga mereka menubuhkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dimana Kevin Ramalingam telah di lantik selaku CEO yang mana ia berkuatkuasa sejak 17 April 2015.

Di mata FAM ianya kelihatan seperti semuanya berjalan dengan begitu lancar dan begitu teratur, tetapi adakah semua pemegang taruh iaitu FA negeri dan kelab sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi era penswastaan FAM? Sedangkan ketika ini kita di era ‘profesional’, masih terdapat lagi pasukan yang terkial-kial untuk membayar gaji pemain.

Kini sudah memasuki bulan Mei 2015 dan masih ada 8 bulan sahaja lagi sebelum era penswastaan liga akan berlaku tetapi sehingga kini kita masih belum mendengar sebarang bentuk pengumuman mengenai  perubahan terhadap struktur liga kita.

Adakah akan terdapat penambahan atau pengurangan pasukan di liga domestik kita? Adakah hanya pasukan berstatus kelab yang mempunyai lesen FAM sahaja yang akan di benarkan bertanding? Atau adakah pasukan bertaraf FA masih di kekalkan dan akan terus beraksi dalam saingan liga? Atau tumpuan FAM kini lebih terarah kepada perlawanan Malaysia XI menentang Totenham dan Liverpool dan segala perancangan penswastaan di tangguhkan buat sementara waktu sehingga perlawanan tersebut selesai?

Terlalu banyak persoalan yang perlu dijawab oleh pihak FAM menjelang era penswastaan bola sepak negara 2016. Moga penswastaan liga akan berjalan lancar dan tidak di tangguhkan ke tahun 2017 pula.  

Kejayaan pasukan JDT menundukkan East Bengal 1-0 dalam saingan Piala AFC yang berlangsung di Stadium Salt Lake City Kolkata baru-baru ini menjadikan JDT kini layak ke pusingan kedua dan menanti JDT di saingan pusingan kedua yang dijadualkan akan berlangsung pada 27 Mei 2015 nanti adalah antara pasukan Persib Bandung atau Ayeyawady United.

Walau bagaimanapun, setiap pemain harus meningkatkan kualiti persembahan di atas padang kerana menanti mereka di pusingan berikutnya pastinya pasukan yang lebih baik kualitinya berbanding lawan di dalam kumpulan F saingan Piala AFC.

Agak sukar untuk menewaskan lawan yang lebih baik sekiranya JDT kekal dengan prestasi ketika menentang East Bengal di Kolkata. Permainan tempoh hari begitu jelas dikuasai oleh pasukan East Bengal terutama sekali selepas permainan dihentikan akibat keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Dan ianya mungkin menjadi punca mengapa momentum pasukan kelihatan agak sedikit longgar selepas itu.

Kolkata juga meninggalkan seribu satu kenangan buat rakan-rakan kami yang bertandang ke sana kerana setiap “awaydays” ada kisahnya yang tersendiri. Terima kasih dan jumpa lagi Kolkata!

Minggu lalu kita juga dikejutkan dengan perkhabaran mengenai status jurulatih Bojan Hodak yang direhatkan oleh pihak PBNJ. Terdapat pelbagai respon yang di terima dari pelbagai pihak samada respon positif mahupun negatif. Walau bagaimanapun kita harus sentiasa ingat bahawa “pemain sentiasa datang dan pergi, jurulatih datang silih berganti tetapi apa yang lebih penting adalah penyokong dan kelab akan terus kekal di sini”.

Moga dengan kehadiran jurulatih baru akan menjadikan JDT lebih maju di masa hadapan. Buat para pemain, berusahalah sehabis baik untuk mencapai kejayaan, kami Boys of Straits akan tetap berdiri teguh di belakang anda dan ingatlah walau dari mana anda datang, apabila beraksi di atas padang dan menyarung jersi JDT, maka kami mahu anda beraksi dengan semangat yang jitu kerana anda semua membawa nama bangsa Johor.

Kita semua adalah Boys of Straits. Luaskan kuasamu Johor!




video

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. dan JDT dh menang ke atas Ballestier semlm...!!
    yeaayy!!!
    luaskan kuasamu oh Johorku!!

    ReplyDelete