Thursday 7 May 2015

Artikel Minggu kedua Kosmo 18 April 2015. Pertahankan rekod kebal di Larkin.

Berikut adalah artikel tanpa sebarang tapisan untuk ruangan Bicara Boys of Straits bagi minggu ke2. 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera di ucapkan buat semua. Terima kasih kami ucapkan kepada akhbar Kosmo kerana sekali lagi memberikan kami ruang untuk berbicara pada minggu ini.

Seperti mana kita sedia maklum, perlawanan kelapan Liga Super akan di teruskan pada Sabtu ini dengan pertembungan klasik di antara Harimau Selatan dan ‘The Red Warrior’dengan perlawanan akan diadakan di Stadium Larkin.

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan mengenai statistik pertembungan terdahulu kerana ianya kelihatan seperti lebih memihak kepada pasukan JDT dengan semenjak zaman revolusi bola sepak negeri Johor pada 2013, JDT telah berjaya merekodkan enam (6) kali kemenangan daripada sembilan (9) perlawanan. Apa yang lebih menarik lagi, JDT telah memenangi kesemua pertembungan yang diadakan di Stadium Larkin.

Walaupun Kelantan pada masa ini sedang mengalami sedikit kemerosotan dengan kini menduduki tangga kesepuluh liga, kita tidak seharusnya memandang rendah terhadap kemampuan mereka. Dengan kehadiran pemain import dan jurulatih yang baru, mereka pastinya mahu menamatkan prestasi buruk mereka.

Usah cemarkan rekod baik pertemuan menentang Kelantan sejak 2013 dan pertahankanlah rekod tanpa kalah di Stadium Larkin. Kami semua di teres akan memainkan peranan kami dengan sorakan pembakar semangat buat semua perwira di atas padang sepanjang perlawanan itu nanti. Kami yakin anda mampu menumpaskan Kelantan dan seterusnya menghambat terus pendahulu liga.

Buat barisan penyerang JDT, anda harus segera bangkit dan pamerkan aksi lebih yang lebih tajam di hadapan gol. Dengan hanya lapan (8) gol yang berjaya dijaringkan oleh daripada tujuh (7) perlawanan menunjukkan betapa tumpulnya aksi barisan pemain serangan.

Berbanding dengan tahun lepas sebanyak 12 gol berjaya dijaringkan daripada tujuh (7) perlawanan. Sememangnya ketiadaan Luciano Figueroa dan Amri Yahyah di awal musim sedikit sebanyak merencatkan perancangan pasukan.

Kami harap dengan kehadiran Patito Rodriguez dan Alhaji Kamara yang di lihat kini semakin serasi dengan pemain-pemain lain akan mengukuhkan lagi jentera serangan. Sama-sama kita berdoa agar mereka berdua dapat menjaringkan gol pertama mereka bersama JDT pada Sabtu ini.

Dan sekiranya Alhaji dapat menjaringkan gol pertamanya pada sabtu ini ianya pasti akan menjadi hadiah hari kelahiran yang sangat istimewa buat beliau, “Selamat hari lahir Alhaji Kamara!”

Jika JDT mengalami sedikit masalah di hadapan gol, berbeza pula dengan pasukan JDTii yang mengalami sedikit masalah di barisan pertahanan. Bolos 13 kali menunjukkan terdapat sedikit kerapuhan di barisan pertahanan.

Baihaki dan rakan-rakan lain harus bangkit dan lebih fokus terutamanya di perhujung perlawanan. Semua sedia maklum kita telah di hukum sebanyak dua (2) kali ketika perlawanan menentang Pulau Pinang dan Kedah tempoh hari di masa-masa kecederaan.  

Tumpas di saat-saat akhir perlawanan sememangnya amat memeritkan dan kami sedar anda juga pasti kecewa dengan kekalahan tempoh hari. Jadi kami semua mahu anda bangkit semula dan berikan aksi yang terbaik untuk perlawanan yang akan datang.

“Ayuh bangkit wira-wira semua, bangkit demi Johor yang tercinta, ayuh mara, terus mara, ayuh wira Johor terus mara!”

Kita semua adalah Boys of Straits. Luaskan kuasamu Johor!



#MR

No comments:

Post a Comment