Monday 4 May 2015

Artikel BOS di kosmo sabtu 11 April 2015

Berikut adalah artikel tulisan kami yang tersiar di akhbar Kosmo 11 April 2015. Artikel ini adalah versi asal tanpa sebarang editing. 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Umum mengenali Boys of Straits samada di ‘Curva Nord’ Larkin, ‘Nord Stand’ Pasir Gudang mahupun di gelanggang lawan menerusi penampilan, pergerakan, banner, sorakan padu mahupun ketukan drum semasa perlawanan berlangsung. Dengan bait-bait lirik yang di lontarkan untuk pasukan semuanya demi menaikkan semangat pemain yang beraksi di atas padang. Tetapi mungkin juga ramai yang kurang mengetahui sejarah bagaimana tertubuhnya komuniti ‘gila’ yang berideologikan ultras ini.

Secara ringkasnya, komuniti ini di tubuhkan pada 6 Mac 2010 oleh sekumpulan sahabat yang bergiat aktif di dalam laman forum Harimau Malaya (HMC), dengan menggunakan nama Southern Troop Ultras (STU) sebelum di tukarkan kepada Boys of Straits (BOS) pada penghujung tahun 2011. Sewaktu di awal penubuhan, semua yang terlibat mempunyai suatu impian yang sama iaitu untuk melihat komuniti ini membesar dan mampu menyatukan rakyat Johor menerusi medium bola sepak sama seperti semua komuniti ultras di luar negara.

Ternyata apa yang di impikan kini menjadi kenyataan. Daripada 3-4 orang sebelum zaman revolusi bola sepak Johor oleh TMJ kepada ribuan orang, semua bagaikan tidak percaya dan terkesima dengan sokongan yang di terima daripada pelbagai lapisan masyarakat di Johor kepada komuniti ini. Dalam tempoh masa lima tahun pelbagai kisah suka dan duka yang telah di lalui bersama, maka tiada ucapan lain yang mampu kami ungkapkan buat semua selain daripada TERIMA KASIH atas sokongan anda semua. Apa yang kami sorakkan, laungkan dan ekspresikan di stadium hanyalah untuk pasukan kesayangan kita semua, Johor Darul Ta’zim.

“Johor ku mahu kau tahu, tak kira menang atau kalah, kami anak-anak Johor, sentiasa ada bersamamu.”

Patito, Alhaji dan Jalan Besar
Kehadiran Patito Rodriguez dan Alhaji Kamara dilihat jelas memberikan suntikan semangat baru buat pasukan tatkala Lucho dan Diaz yang sebelum ini banyak bergelut dengan kecederaan dan prestasi yang kurang menjadi di awal musim. Paling menyerlah adalah Patito, dengan larian pantas dan muslihatnya tatkala meloloskan diri daripada pihak lawan dan lorongan tepat untuk rakan-rakan lain membuatkan beliau wajar dinobatkan selaku terbaik pada perlawanan menentang ATM. Beliau di lihat mampu menjadi asset utama pasukan pada masa akan datang. Lihat sahaja rakaman perlawanan JDT menentang ATM di laman-laman sesawang, dan anda nilaikan sendiri aksi Patito. Jika Patito dapat mengekalkan prestasi seperti perlawanan menentang ATM tempoh hari dan dengan sokongan rakan sepasukan yang lain maka tidak mustahil LionsXII mampu ditundukkan di Jalan Besar Sabtu ini.

Buat semua yang akan ke Stadium Jalan Besar Singapura, moga anda semua dapat merancang perjalanan dengan sebaiknya kerana pihak lawan pastinya akan seperti biasa menghadkan kuota tiket untuk kita di sana. Walaupun kita sudah sedia maklum stadium tersebut tidak akan penuh dengan penyokong mereka sendiri.

Permainan psikologi mereka pastinya akan bermula dengan pemeriksaan ketat daripada pihak imigresen dan kastam mereka sehinggalah di hadapan pintu masuk stadium. Walau bagaimanapun, jika mereka fikir ini semua akan melemahkan semangat BOS, mereka telah tersilap langkah.

Johor Darul Ta’zim II
Di samping kita menyokong JDT, jangan di lupakan pasukan kedua kita yang beraksi di Liga Perdana. Pada hari Ahad (12 April 2015) ini mereka akan meneruskan saingan liga dengan perlawanan menentang Kedah di Stadium Pasir Gudang. Setelah tumpas 0-2 di tangan LionsXII dalam saingan suku akhir pertama Piala FA pastinya Goran Paulic mahu anak-anak buahnya bangkit dalam saingan liga, kita semua juga boleh memainkan peranan dengan sama-sama turun memberikan sorakan padu kepada JDTii.

Piala AFC 2015
Saingan Piala AFC pula sudah memasuki pusingan kedua dengan JDT kini menduduki tangga kedua di belakang pasukan Kitchee. Sudahkah anda semua bersedia untuk menerima tetamu dari Hong Kong pada hari Selasa, 14 April 2015? Ayuh kita penuhkan segenap ruang di stadium Larkin dan lontarkan sorakan semangat buat pahlawan kita agar kita mampu menewaskan wakil Hong Kong dan seterusnya mencerahkan peluang kita untuk layak ke pusingan berikutnya.

Kita semua adalah Boys of Straits. Luaskan kuasamu Johor!


#MR


1 comment:

  1. assalammualaikum, sy cadangkan bos update setiap artikel yg klua di akhbar, di sini..utk info yg lebih tepat...sekian.

    ReplyDelete